| KEADILAN Mengalu-Alukan Dato’ Seri Chua Soi Lek Bertanding Di Batu Pahat |
Saya merujuk laporan-laporan media baru yang menyebut ura-ura UMNO memberi laluan kepada MCA yang akan menurunkan Dato’ Seri Chua Soi Lek untuk bertanding di Parlimen Batu Pahat.
Saya menyambut baik perkembangan ini kerana KEADILAN Batu Pahat bersedia pada bila-bila masa untuk berdepan dengan mana-mana parti Barisan Nasional. Jika ini berlaku, ia mengesahkan keresahan pimpinan UMNO di Johor yang tidak yakin dapat memenangi hati pengundi pelbagai kaum di Batu Pahat.
Walaupun ini tidaklah mengejutkan, tetapi ia melunturkan lagi kedudukan UMNO sebagai parti utama yang boleh menjadi tunjang kepada sebuah kerajaan persekutuan kerana ia ditolak oleh sebahagian besar pengundi bukan Melayu di Batu Pahat khususnya dan Malaysia secara amnya.
Tindakan MCA menurunkan Dato’ Seri Chua Soi Lek di Batu Pahat akan menguatkan lagi peluang KEADILAN dan Pakatan Rakyat merampas kerusi ini. Selain dari peristiwa mengaibkan melibatkan Dato’ Seri Chua Soi Lek yang berlaku di Batu Pahat sendiri, sebahagian besar dari pengundi Cina di Batu Pahat terdiri dari pengundi muda yang tidak terpengaruh dengan rekod wakil rakyat Dato’ Seri Chua Soi Lek di masa lalu.
Mereka juga mengambil pendirian yang konsisten mengenai perlunya ada reformasi yang menyeluruh di dalam negara.
Keputusan persaingan dalam Pilihanraya Umum Ke-13 di Batu Pahat kelak akan ditentukan oleh pengundi muda berbilang bangsa.
Jentera KEADILAN Batu Pahat yang sebahagian besarnya terdiri dari anak-anak muda di bawah 30 tahun menguatkan lagi semangat dan keyakinan KEADILAN bahawa peluang Pakatan Rakyat di Batu Pahat adalah baik; tidak kiralah calon atau parti Barisan Nasional mana yang bertanding.
SYED HAMID SYED ALI
Ketua Cabang KEADILAN Batu Pahat
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN