1. Setiap pihak berhak untuk berniaga dan membuat keuntungan dengan syarat tidak menzalimi pihak yang lain. Mementingkan keuntungan sendiri sehingga menyakiti pihak lain adalah satu kezaliman.
2. Simpati saya kepada penduduk Kuantan, juga mereka yang terkesan dari keuntungan bauksit yang diperolehi oleh pihak tertentu. Orang lain membuat untung, rakyat bawahan mendapat derita. Penguasa hendaklah sedar bahawa urusan pengurusan di dunia ini tidak berakhir di sini, tetapi akan dibawa ke mahkamah Allah pada Hari Kiamat kelak. Sabda Nabi s.a.w:
مَا مِنْ أَمِيرِ عَشَرَةٍ إِلَّا يُؤْتَى بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَغْلُولًا لَا يَفُكُّهُ إِلَّا الْعَدْلُ أَوْ يُوبِقُهُ الْجَوْرُ
“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih
2. Saya bimbang rakyat mula hilang keyakinan dengan sistem keadilan dalam negara sehingga mereka mula bertindak sendiri. Kejadian membakar lori-lori bauksit di Kuantan itu satu pentanda yang perlu dipandang serius. Jika hal ini berterusan, lalu merebak maka satu negara tidak terkawal lagi. Rakyat bawahan akan berkeyakinan bahawa hanya mengambil undang-undang di tangan sendiri sahaja yang dapat membela diri dari dizalimi. Kata Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a.:
فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلكُمْ أَنَّهُمْ مَنَعُوا الْحَقَّ حَتَّى اُشْتُرِيَ ، وَبَسَطُوا الْجَوْرَ حَتَّى اُفْتُدِيَ
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).
3. Kerajaan tidak boleh mementingkan golongan atasan sehingga menyebabkan rakyat bawahan menderita dan merasa diri mereka tidak terbela. Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yang sedang berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana. Kata Mu’awiyah:
اُنْظُرْ فَاقَةَ الْأَحْرَار فَاعْمَلْ فِي سَدِّهَا ، وَطُغْيَان السَّفَلَة فَاعْمَلْ فِي قَمْعِهَا ، وَاسْتَوْحِشْ مِنْ الْكَرِيم الْجَائِع وَاللَّئِيم الشَّبْعَانِ ، فَإِنَّمَا يَصُول الْكَرِيم إذَا جَاعَ ، وَاللَّئِيمُ إذَا شَبِعَ
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang” ((Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Kerajaan wajib bertindak segera mengatasi masalah ini. Simpati saya untuk rakyat Kuantan, semoga Allah memelihara kalian.