profile image
by fathilullail
on 23/3/12
I like this button35 people like this
Adakah sesi penerangan #1Care hanya difikirkan selepas kritikan rakyat? - #DSWA

Kami mengambil maklum jawapan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa rancangan system kesihatan 1Care hanya akan siap dalam masa dua tahun.

Beliau juga telah berjanji melancarkan satu sesi penerangan seluruh negara bagi menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat tentang 1Care.

Sebagaimana disebutkan di dalam kenyataan kami sebelum ini, kami mempersoalkan jaminan Menteri Kesihatan sebagaimana rekodnya di dalam kontroversi Lynas.

Juga amat mengejutkan bahawa Menteri Kesihatan hanya bercakap tentang menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat sekarang, selepas 1Care mendapat tentangan daripada rakyat. Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA, proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat.

Kami juga menerima aduan-aduan daripada doktor-doktor yang terlibat di dalam perbincangan mengenai 1Care sebelum ini bahawa tiada proses rundingan dan dialog sebenar. Kerajaan nampaknya akan meneruskan 1Care.

Kami juga berharap Menteri Kesihatan akan member respons terhadap cadangan kami bagi langkah-langkah segera bagi menambahbaik system kesihatan Negara. Sebagaimana disebut di dalam kenyataan saya sebelum ini, perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada KDNK pada 2008 adalah lebih rendah daripada cadangan WHO sebanyak 5 hingga 6 peratus. WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan termasuk rasuah.

Justeru memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan ini hanya akan membuka ruang untuk meningkatkan rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara. Coraknya sama seperti penswastaan pelbagai sektor sistem kesihatan negara sepanjang dua dekad ini yang sepatutnya meningkatkan kecekapan tetapi sebaliknya hanya meningkatkan ketirisan.

Ini termasuklah penswastaan Stor Perubatan Kerajaan, Hospital-Hospital University, Jabatan Kardiologi dan Perkhidmatan Sokongan Hospital yang telah membawa peningkatan kos yang tinggi tanpa meningkatkan kecekapan.

DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
PRESIDEN
PARTI KEADILAN RAKYAT