profile image
by fathilullail
on 14/3/12
I like this button39 people like this
[Kenyataan Media KEADILAN]: Kenyataan Penafian Tidak Menjernihkan Pelbagai Persoalan Mengenai Integriti Dan Ketelusan Perdana Menteri

Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa
disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri
yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan
yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan
ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:

1. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana
Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar
sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang
disyorkan KEADILAN; dan

2. Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh
pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu
ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos
majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat
Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan
peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi
politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat
agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya;
maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa
segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah
guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia.
Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana
Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul
ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial
negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum
dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu
lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu
jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order
(BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar
ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1. Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun
ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2. Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini
dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini
menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri
tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya
disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?

3. Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu
majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:



Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang RM20,700

Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai RM7,738

Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai RM5,300

Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai RM795

Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai RM31,800

Ca pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai RM12,720

JUMLAH RM79,053


4. Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah
daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan
Barat dan lain-lain.



Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada
Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi
teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1. Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan
KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2. Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri
membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri
Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri,
bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan
pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3. Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang
memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri
bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa
keputusan beliau selama ini?

4. Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk
majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia
mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan
dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap
tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang
diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini,
tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar
pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC
sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan
Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti
sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang,
wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh
Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas
dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.



MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MAC 2012